http://www.thetapedeck.net/wp-content/uploads/2010/09/Just-the-Way-You-Are-ft.-Lupe-Fiasco.mp3

Thursday, October 20, 2011

memaafkan tapi masih terluka? =)


Maaf. Satu perkataan yang mudah dilafazkan bagi kebanyakan orang.
Terhiris dan terluka dalam perhubungan seharian dengan manusia yang lainnya saya kira semua orang pernah hadapi. Ada yang berselisih faham dengan sahabat sendiri. Ada yang menerima makian daripada orang lain hanya kerana membawa sesuatu yang betul. Ataupun, ada yang terluka kerana ditipu.
Lalu, datanglah orang-orang yang pernah menyakitkan hati itu untuk memohon kemaafan. Walaupun dengan hati yang sakit dan tidak merelakan, perkataan ‘dimaafkan’ itu tetap dilafazkan kepada orang yang memohon maaf tadi. Tapi, maaf itu hanya sekadar perhiasan dibibir tetapi dihati masih memendam rasa terluka sehingga menjauhkan diri dari si dia yang pernah menyakitkan hati.
Nah, adakah itu namanya benar-benar memaafkan?
Apabila Hati Terluka Dek Orang
Hidup ini tidak menjanjikan kebahagiaan semata-mata. Maka, terluka oleh orang lain adalah salah satu cabang daripada ujian ALLAh Ta’ala. Dan cara disakiti oleh orang lain itu pula dengan cara yang berbeza-beza. Mungkin pada sindiran, mungkin dengan cara memburukkan atau mengumpat dibelakang, atau macam-macamlah cara yang anda ketahui.
Dan oleh kerana manusia itu juga namanya adalah manusia, sebagai insan biasa, rasa sakit hati itu pastinya hinggap didalam diri. Apabila lama memendam rasa sakit hati, maka dendam pula mengambil alih peranan.
Kadang-kadang, apabila mendapat tahu si A mengumpat anda, rasa sakit itu itu akan serta merta muncul dalam diri. Kenapa? Mungkin rasa dikhianati. Mungkin rasa maruah tercalar.
Baik. Itu perasaan yang normal pada seorang manusia biasa.
Tapi, disaat manusia yang bersalah itu didatangi dengan perasaan berdosa dan datang kepada anda untuk memohon maaf dalam keadaan anda masih memendam rasa sakit hati, maka anda memaafkan kerana tercampak sedikit meluat melihat wajah si pesalah.
Walaupun pada masa itu anda sebenarnya tidaklah memaafkan sepenuh hati.
Adakah itu normal? Bagi saya tidak.
Memaafkan Tapi Masih Terluka
Apabila memberi kemaafan yang datangnya bukan dari jiwa, percayalah.. Dendam itu akan tumbuh meliar dalam jiwa. Dan boleh jadi seseorang yang masih berdendam itu akan melakukan perkara-perkara yang lebih kurang sama dengan orang yang pernah mengaibkan atau menjatuhkan air muka seseorang itu.
Saya kira, apabila seseorang itu kononnya memberi kemaafan tapi masih terluka, maka itu bukanlah memberi kemaafan sebenarnya. Itu hanyalah suatu perisa yang menambahkan lagi dendam anda.
Perlukan masa untuk pulih dari luka itu?
Tiada masalah. Ambillah sebanyak mana masa yang anda mahu. Tetapi jangan cuba berbohong dengan diri sendiri apabila memberikan kemaafan kepada orang lain sedangkan saat itu jiwa anda membara-bara dengan melihat wajahnya. Ingat deh sahabat, orang yang bersalah, apabila datang kepada anda untuk memohon maaf dan anda memberi kemaafan tidak sepenuh hati, maka urusannya dengan anda telah selesai. Selebihnya, urusan anda dengan ALLAh Ta’ala pula.
Sekali lagi, itu bukan memaafkan namanya!
Bagi saya sendiri begini, sekiranya hati anda masih belum reda dengan kejadian yang berlaku dan apabila datang si A yang telah membuat hati anda sakit dan marah untuk memohon maaf sedangkan pada masa itu anda belum boleh memaafkan sepenuhnya, maka berkatalah padanya,
“Berikan saya sedikit masa untuk biarkan hati saya reda dahulu.”
Cara itu adalah lebih baik. Biar berterus-terang. Dan dengan cara itu, hati akan lembut sedikit demi sedikit kerana anda tahu, anda meminta diberikan masa untuk mengubati hati yang sedang sakit dilukai manusia lain. Maka dalam masa itu, anda akan cuba belajar untuk memaafkan.
Jangan menganiayai diri sendiri dan orang lain yang memohon kemaafan daripada anda dengan memberinya ketaatan palsu. Mereka sebahagian daripada diri kita.
“Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim ,kerana itu janganlah menganiaya,jangan membiarkannya teraniaya dan janganlah menghinanya.Taqwa tempatnya disini!Sambil baginda menunjuk ke dadanya sebanyak 3 kali.Alangkah besar dosanya menghina saudara sesama muslim,setiap muslim haram menumpahkan darah saudara sesama muslim.Haram merampas haratanya dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya” [Hadis Riwayat Muslim]
Jangan mudah melafazkan kata memaafkan seandainya hati tidak berkata sedemikian!
Memberi Kemaafan Adalah Jalan Terbaik
Sebenarnya, orang yang benar-benar memberi kemaafan akan terlepas dari dendam dan sakit hati apabila mengenangkan perbuatan orang padanya. Sebaliknya, orang yang memberi kemaafan akan tenang dan merasai kelapangan jiwa. MashaAllah.
Memang, sebagai manusia biasa adakalanya berhadapan dengan kesukaran untuk memaafkan orang lain. Tapi ingatlah, sifat orang yang mudah memaafkan itu adalah akhlah muslim yang terpuji.
Justeru, saya kira orang pemaaflah yang paling kuat. Kenapa?
Sebab, sebenarnya walaupun dia berupaya untuk membalas segala perbuatan orang kepadanya, namun dia mengambil jalan untuk memaafkan dengan berusaha untuk ikhlas kerana ALLAh Ta’ala.
Rasulullah SAW pernah bersabda.
“Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” -HR. Bukhari
Janganlah daripada kita tergolong daripada orang yang berdendam malah ada yang sampai bersumpah untuk tidak memberi sebarang bantuan kepada orang yang bersalah kepada kita sepanjang hidup. Astaghfirullah~
“…dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa ALLAh mengampunimu. Dan ALLAh Maha Pengampun, Maha Penyayang.” – an Nuur : 22
Rasulullah SAW seorang yang pemaaf. Sebab itu Baginda juga menuntut umatnya untuk memaafkan atas kesalahan yang boleh dengan mudah diberikan kemaafan. Aduh! Sungguh malu apabila terkenangkan perjalanan hidup Rasulullah yang bukan saja diumpat, dikatakan gila, malah dibaling batu sehingga luka berdarah. Kalau boleh pada masa itu, boleh saja Baginda meminta kepada ALLAh untuk diturunkan bala seksaan. Malah, Baginda menolak untuk berbuat sedemikian.
MashaAllah. Tabarakallah~
Sekali lagi, memaafkan adalah jalan yang terbaik. Dan, jika belum bersedia untuk memaafkan kerana hati meminta waktu supaya reda, maka katakan terus-terang tentang itu. Jangan memberi kemaafan tatkala masih berdendam. Kerana, ada perhitungan ALLAh Ta’ala untuk itu!
Pssst! Saya tahu anda seorang yang pemaaf dan lembut hati.
Semoga ALLAh merahmati kehidupan anda sekeluarga di dunia dan akhirat. Senyum.
Semoga ALLAh merahmati.